Happy Cat Kaoani -->

Sunday, August 22, 2010

24 hotel guna bahan diragui halal



Sebanyak 24 buah hotel daripada 34 buah hotel yang dipantau oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kerana menawarkan sajian Bufet Ramadan bermula 1 hingga 10 Ramadan lalu didapati menggunakan bahan yang diragui halal.
Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz berkata, hasil pemantauan tersebut mendapati 70 peratus daripada premis berkenaan tidak memenuhi keperluan piawaian Pensijilan Halal Malaysia.
Menurutnya, promosi yang ditawarkan adalah jelas tidak menepati Perintah Perihal Dagangan (Penggunaan Perbahasaan ‘Halal’) 1975.
“Antara hasil penemuan ialah penggunaan bahan mentah yang berasaskan alkohol, bahan ramuan yang diragui, bahan mentah yang tiada pengesahan halal, ayam daripada sumber yang tidak jelas dan percampuran di antara bahan mentah halal dengan tidak halal di kawasan penerimaan (loading bay) dan stor penyimpanan.
“Bagaimanapun, kesemua premis memberikan kerjasama dan maklum balas yang baik di sepanjang proses pemantauan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Jelasnya, pihak hotel juga menyatakan minat dan kesediaan untuk memohon Sijil Pengesahan Halal Malaysia daripada Jakim dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN).
Menurut Wan Mohamad, Jakim akan terus melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan di hotel-hotel berkenaan pada setiap hari sepanjang Ramadan.
“Oleh itu, semua hotel diingatkan agar tidak menyalahguna terma Bufet Ramadan yang boleh mengelirukan pengguna yang hendak berbuka puasa di hotel.
“Sebagaimana yang kita ketahui, penggunaan istilah Bufet Ramadan merupakan perbahasaan halal dan ia boleh diambil tindakan sekiranya terdapat penyalahgunaan,” tegasnya.
Sementara itu, katanya, sepanjang 10 Ramadan pertama, Jakim menerima 16 permohonan sijil halal daripada hotel di seluruh negara.
Katanya, daripada jumlah itu, sembilan hotel telah lengkap dokumen dan sedang diproses manakala tujuh lagi belum melengkapkan dokumen mereka.
“Sebanyak dua hotel telah diberikan sijil halal dalam tempoh 10 Ramadan iaitu JB Central, Johor dan Pearl International, Selangor,” jelasnya.


No comments: